BAHAGIAN AGIHAN ZAKAT TAZU

ASNAF ZAKAT

Tabung Amanah Zakat Universiti Tenaga Nasional melaksanakan pengagihan zakat berdasarkan kepada perjanjian di antara Universiti Tenaga Nasional dengan Lembaga Zakat Selangor iaitu Universiti Tenaga Nasional hanya dibenarkan untuk mengagihkan zakat kepada empat asnaf sahaja daripada lapan asnaf yang ada iaitu :-

  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Muallaf
  4. Fisabilillah

Berikut adalah definisi serta kriteria asnaf sebagai garis panduan agihan zakat pelajar UNITEN serta kakitangan UNITEN.

DEFINISI SERTA KRITERIA ASNAF BAGI AGIHAN BANTUAN ZAKAT PELAJAR UNITEN

  1. FAKIR

    Definisi: Dalam konteks UNITEN, asnaf fakir ialah pelajar UNITEN yang mana ketua keluarganya tidak mempunyai sumber kewangan atau ada sumber kewangan tetapi tidak halal atau ada sumber kewangan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah. Kriteria: Iaitu perkara satu (1) dan mana-mana kriteria berikutnya:

    1. Beragama Islam dan sedang belajar di UNITEN.
    2. Pemohon dan/atau ketua keluarganya mempunyai sumber kewangan yang tidak halal.
    3. Pemohon dan/atau ketua keluarganya mempunyai sumber kewangan yang halal tetapi tidak mencapai 50 peratus had kifayah.
    4. Pemohon dan/atau ketua keluarganya tiada kemampuan untuk menyara diri sendiri dan/atau tanggungannya.
    5. Pemohon dan/atau ketua keluarganya hilang tempat bergantung atau teraniaya.
    6. Pemohon dan/atau ketua keluarganya telah menerima bantuan daripada mana-mana pihak tetapi tidak mencapai 50 peratus had kifayah.

    Jenis Bantuan:

    1. Bantuan Wang Saku.
    2. Bantuan Kecemasan Runcit.
    3. Bantuan Perubatan.
    4. Bantuan Keperluan Pendidikan.
    5. Saguhati Hari Raya.
  2. MISKIN

    Definisi: Dalam konteks UNITEN, asnaf miskin ialah pelajar UNITEN yang mana ketua keluarganya mempunyai sumber kewangan yang halal yang hanya mencapai 50 peratus keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai 100 peratus had kifayah.

    Kriteria: Iaitu perkara satu (1) dan mana-mana kriteria berikutnya:

    1. Beragama Islam dan sedang belajar di UNITEN.
    2. Pemohon dan/atau ketua keluarganya mempunyai harta tetapi hasilnya tidak mencapai had kifayah.
    3. Pemohon dan/atau ketua keluarganya mempunyai sumber kewangan yang halal yang hanya mencapai 50 peratus keperluan diri sendiri dan/atau tanggungannya dan tidak mencapai had kifayah.
    4. Pemohon dan/atau ketua keluarganya telah menerima bantuan daripada mana-mana pihak tetapi tidak mencapai had kifayah.
    5. Pemohon dan/atau ketua keluarganya cacat atau menghidap penyakit kronik yang berupaya menyara 50 peratus keperluan hidup tetapi tidak mencapai had kifayah.

    Jenis Bantuan:

    1. Bantuan Wang Saku.
    2. Bantuan Kecemasan Runcit.
    3. Bantuan Perubatan.
    4. Bantuan Keperluan Pendidikan.
    5. Saguhati Hari Raya.
  3. MUALLAF

    Definisi: Dalam konteks UNITEN, asnaf muallaf ialah pelajar UNITEN yang baru memeluk agama Islam yang diharapkan dengan pemberian agihan zakat ini boleh menguatkan imannya dan/atau pelajar bukan Islam yang berpengaruh di dalam masyarakatnya dan berjinak-jinak dengan agama Islam.

    Kriteria: Iaitu perkara satu (1) dan mana-mana kriteria berikutnya:

    1. Sedang belajar di UNITEN.
    2. Disahkan telah memeluk agama Islam oleh Pusat Pengajian Islam dan Peradaban (CICU) dan masih memerlukan bimbingan dan perlindungan.
    3. Disahkan telah memeluk agama Islam oleh mana-mana Majlis Agama Islam Negeri dan berada dalam keadaan yang amat terdesak serta memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera.
    4. Pelajar bukan Islam yang berpengaruh dan berjinak-jinak dengan agama Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut mampu menarik minat beliau dan mempengaruhi masyarakatnya kepada Islam.

    Jenis Bantuan:

    1. Saguhati Hari Raya.
    2. Ceramah Muallaf.
    3. Sumbangan Individu/Persatuan Saudara Baru.
    4. Bantuan Kecemasan Runcit.
    5. Bantuan Berkhatan.
    6. Bantuan Kewangan Bulanan.
    7. Kursus dan Latihan
    8. Bantuan Umum Pelajaran.
    9. Bantuan Perubatan Muallaf.
  4. FISABILILLAH

    Definisi: Dalam konteks UNITEN, asnaf fisabilillah ialah setiap urusan atau aktiviti yang menjurus kepada keperluan dan maslahah umat Islam untuk mengembangkan syiar Islam di dalam dan di luar UNITEN.

    Kriteria: Iaitu perkara satu (1) dan mana-mana kriteria berikutnya:

    1. Usaha yang dilaksanakan mestilah tidak melanggar syariat Islam.
    2. Usaha yang dilaksanakan mestilah memberi pulangan yang sepenuhnya kepada maslahah agama IslamUsaha yang dilaksanakan mestilah memenuhi pengertian jihad fisabilillah.
    3. Usaha-usaha yang dilaksanakan hendaklah ke arah amal makruf dan nahi mungkar.
    4. Usaha yang dilaksanakan mestilah dapat meningkatkan imej dan menjaga maruah Islam mengikut keutamaan.
    5. Usaha yang dilaksanakan hendaklah dengan kaedah-kaedah yang mampu untuk menyaingi dan mengatasi strategi musuh Islam demi memelihara dan memantapkan akidah umat Islam.
    6. Usaha yang digerakkan secara bersepadu ke arah penyampaian dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam.
    7. Usaha membasmi kejahilan dan meningkatkan taraf intelektual umat Islam.
    8. Mangsa bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran yang menyebabkan kemusnahan kepada harta benda dan kerugian.

    Jenis Bantuan:

    1. Bantuan Umum Pelajaran.
    2. Sumbangan Program Forum / Ceramah Agama.
    3. Bantuan Kepada Persatuan / Badan Kebajikan Islam.
    4. Bantuan Kecemasan Runcit.
    5. Dermasiswa Pelajar Cemerlang.
    6. Bantuan Keperluan Belajar.
    7. Bantuan Penyelidikan / Penerbitan.

DEFINISI SERTA KRITERIA ASNAF BAGI AGIHAN BANTUAN ZAKAT ANGGOTA KERJA UNITEN

  1. ASNAF FAKIR
    Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.
  2. ASNAF MISKIN
    Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.
  3. ASNAF MUALLAF
    Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.
  4. ASNAF FISABILILLAH
    Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.
BANTUAN ZAKAT:
  1. Perubatan, Pembedahan, Pembelian Alat Sokongan Hidup, Rawatan Susulan melibatkan kos yang tinggi.
  2. Bantuan Bencana Alam ( pemohon ditimpa musibah bencana alam seperti banjir Musibah besar dan tidak mendapat bantuan dari Pusat Zakat Negeri)
  3. Muallaf, Saguhati Galakan ( Muallaf yang baru memeluk Islam kurang dari 5 tahun)
  4. Bantuan Umum Pelajaran, Bantuan umum persekolahan anak-anak staff
  5. Bantuan Wang Saku